Selamat Hari Guru 2009 - Guru Pembina Negara Bangsa
7:09 AM | Author: ustaz sallehen mukhyi
Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera

saya memohon ribuan ampun dan maaf di atas penulisan yang sekian lama tidak terisi di dalam laman blog saya ini. Kesibukan menjelang Muktamar PAS bulan hadapan membuatkan saya tidak berkelapangan untuk menulis.

Namun, dikesempatan ini, saya mengucapkan SELAMAT HARI GURU 2009, khususnya kepada seluruh guru-guru yang berdedikasi di Malaysia, khususnya kepada mereka yang mencintai perjuangan menegakkan kebenaran dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar.

pesanan saya agar semua guru-guru teruskan perkhidmatan dengan penuh rasa tanggungjawab demi memajukan anak bangsa yang bakal menerajui negara di masa depan kelak. Sediakan mereka dengan segala disiplin ilmu yang merangkumi unsur duniawi dan ukhrawi sebagai pelengkap menjadi muslim yang sejati.

dahulunya saya juga merupakan seorang guru, dan denyut nadi untuk melihat anak bangsa maju tetap ada di naluri saya. Maka, saya mengharapkan para guru yang budiman, niatkan di hati untuk memberi ilmu pengetahuan seikhlas mungkin.

jadikan profesion guru sebagai satu profesion yang mencerminkan keperibadian yang mulia, sejak dahulu hingga kini, guru dikenang sebagai orang yang paling budiman, perteguhkan diri setiap guru dengan ilmu-ilmu baru agar dapat memahami rentak dan tempo pendidikan di masa kini.

Selamat Hari Guru 2009 "Guru Pembina Negara Bangsa"

ikhlas daripada
Hj. Sallehen bin Mukhyi
YDP Kawasan Sabak Bernam
Ucapan Tema Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor
11:47 PM | Author: ustaz sallehen mukhyi

SATUKAN KEKUATAN


Saudara pengerusi Majlis

YB Dato Hj. Mahfuz Omar, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahli Parlimen Pokok Sena

Saf Pimpinan Badan Perhubungan PAS Selangor

Rakan-rakan Pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat

Rakan-rakan Exco Dewan Pemuda PAS Selangor

Rakan-rakan Pemuda Kelab Penyokong PAS

Para Perwakilan dan Para Pemerhati

Saudara/i.

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya AlLah benarbenar beserta orang-orang yang berbuat baik." (29:69)

Terlebih dahulu saya ingin merafakkan Kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah Rabbul Jalil yang telah mengilhamkan dan mengizinkan untuk kita mengadakan pertemuan dan perhimpunan tahunan yang penuh makna ini. Saya mengalu-alukan kehadiran YB Dato’ Hj. Mahfuz Omar, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, serta seluruh tetamu tetamu jemputan, para perwakilan serta pemerhati sekalian ke Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor ini. Saya menjangkakan bahawa muktamar ini akan menjadi medan yang akan digunakan sebaiknya oleh para perwakilan untuk memberikan teguran, kritikan serta pandangan membina bagi mengukuhkan lagi gerak kerja kita untuk memacu dan melebarkan kemenangan.

Muktamar tahun ini kita adakan dibangunan yang pernah melakarkan sejarah agong perjuangan yang penuh onak dan duri sepanjang lebih lima puluh tahun yang lalu. Dari bangunan inilah, segala dasar dan strategi disusun bagi memastikan intipati kebenaran yang menjadi asas dalam perjuangan kita diterima oleh masyarakat dan rakyat. Dari bangunan ini jugalah kita telah menyatukan hati dan fikrah untuk, Meroboh rangkaian penindas, melangkah gagah, merakyat perjuangan, mendepani cabaran, serta tema-tema lain yang kita garap bersama untuk membina kekuatan. Dari bangunan ini jugalah kita telah Berjaya mengubah persepsi daripada tanggapan Parti Pak Lebai sehingga menjadi sebuah Parti yang penuh Professional dan Parti untuk Semua. Hari ini, Allah telah perkenankan sebahagian dari tuntutan kita disepanjang perjuangan yang lalu.Hari ini, kita menikmati sebahagian dari hasil pahit jerih pejuang-pejuang yang lalu. Pengorbanan masa, tenaga. Wang ringgit malah nyawa meraka telah kita nikmati sebahagian hasilnya pada hari ini.Tiada lagi perasaan lebih dari Kesyukuran yang tidak terhingga bagi menyambut sebahagian dari nikmat hasil perjuangan yang panjang. Namun harus diingat cabaran di waktu menang dan ada kerajaan lebih sukar dari menghadapi cabaran diwaktu belum menguasai kerajaan. Maka pengurusan Tarbiyyah mestilah diperkasa bagi memacu kemenangan ini.

Pentarbiyahan dan Perkaderan

Tarbiyyah yang menjadi madrasah terpenting bagi melahirkan kepimpinan pemuda mestilah dimuhasabahkan setiap kali kita bermuktamar. Tinjauan kritis terhadap program tarbiyyah mendedahkan kepada kita betapa kelemahan-kelemahan asasi masih belum kita atasi. Program tarbiyyah terus dipandang sepi dan sebahagiannya hanya sekadar untuk mengisi kekosongan diari. Bermula dengan konsep tarbiyyah sendiri kepada kaedah dan strategi pelaksanaannya masih dengan seribu satu masalah. Kita menyarankan agar konsep tarbiyyah diberi pengertian yang tepat sesuai dengan sifat jamaah kita sebagai jamaah yang besar dan terbuka di samping ia selari dengan sifat harakah Islam, bukan badan atau organisasi Islam biasa. Apatah lagi kita baru menghadapi pasca baru politik negeri selepas pilihanraya ke-12 yang lalu, menuntut untuk lebih serius dan berfokus dalam urusan pentarbiyahan pemuda. Pendekatan tarbiyyah yang lebih inovatif dan kreatif perlu menjadi rangkuman tindakan bagi melahirkan pemuda yang tahan uji dan bersyakhsiyah tinggi. Untuk ini ruanglingkup dan pengertian tarbiyyah diperluaskan merangkumi aspek amali menerusi pendidikan secara pondok terbuka. Setiap gerakerja jamaah dilaksanakan bersungguh-sungguh sebagai menzahirkan unsur-unsur tarbiyyah amaliyyah. Malah penyusunan dan pelaksanaan secara teratur dan berperancangan serta berfokus boleh diertikan sebagai hasil tarbiyyah yang berkesan.

Kemenangan kita bersama Pakatan Rakyat menguasai Kerajaan Negeri Selangor mestilah disambut dengan kemantapan tarbiyyah. Percayalah bahawa kita akan menghadapi cabaran yang semakin besar. Sejarah telah melakarkan bahawa perjuangan Islam apabila telah mampu menguasai orbit politik maka cabaran yang dihadapi semakin besar dan masalah semakin kompleks. Rasulullah dan para sahabat sewaktu membawa misi Risalah dari Allah di bumi Mekah hanya menghadapi golongan kuffar musyrikin. Namun apabila perjuangan baginda telah menguasai politik dan pengurusan kerajaan Madinah, bukan sekadar kuffar musyrikin bahkan lahir golongan munafiqin dan musuh-musuh yang lain. Fikrah maddiyyah adalah realiti dalam masyarakat masakini dan hanya dapat ditumpaskan dengan menghidupkan budaya jihad secara bersungguh-sungguh. Bagi tujuan ini kita mestilah bertindak mencipta arus bagi diikuti oleh pemuda khususnya bukannya menjadi pengikut arus dalam menghadapi gelombang maddiyyah yang sedang melanda.

Saya ingin melahirkan perasaan terkilan saya kerana sebahagian program-program pentarbiyahan pemuda kini lebih berorientasikan "muktamar" guna mengisi lembaran-lembaran laporan tahunan tanpa diarah untuk menyediakan pelapis-pelapis kepimpinan. Muhasabah dan pendekatan baru harus dilaksanakan di dalam semua program pemuda pada masa-masa akan datang. Program pembangunan Mahasiswa perlu disusun secara terancang agar benar-benar mampu menjana tenaga kepimpinan di masa depan. Di sudut yang lain, Aspek organisasi perlu diberi perhatian segera agar lebih berstruktur. Seperti pada tahun-tahun yang lepas kita mengambil kesempatan di sini menyeru kepada seluruh peringkat organisasi pemuda agar melakukan perubahan kepada cara berorganisasi dan meningkatkan keupayaannya agar ia mantap dan berkesan sebagai jentera kepada pelaksanaan misi-kita. Keujudan Pusat Akademi Kepimpinan Pemuda, pemuda pusat yang baru sahaja dirasmikan di Kelantan perlulah dimanfaatkan untuk melatih dan memberi pendedahan kepada pembinaan syaksiyyah dan pengurusan organisasi di kalangan kader-kader pemuda.

Tangani Gejala Sosial

Saudara/ri sidang muktamirin,

Kita baru menerima tanggungjawab mengurus kerajaan ini daripada kerajaan sebelumnya yang telah menanam benih kerosakan dan kemungkaran terhadap rakyat dan masyarakat. Kerosakan golongan muda akan menjadi aset besar kepada UMNO-BN untuk mengekalkan status-quo mereka mentadbir Kerajaan ini. Mereka bimbang sekiranya remaja-remaja dan anak muda sudah mula mendekati program agama, program yang membina keimanan dan kekuatan jatidiri, maka mereka akan hilang sokongan. Akhirnya segala pintu-pintu yang mengajak anak muda kepada petunjuk dan kehidupan beragama akan ditutup dan disekat. Masjid dan surau sengaja disepikan dari program ilmu. Waktu yang sama, program mungkar yang dipenuhi dengan nafsu berahi disuburkan. Segala jenis artis yang tidak bermoral akhlak dan pakaian diangkut menjadi tatapan dan idola anak-anak muda.

Hari ini kita yang menuai hasil dari benih yang mereka tanam. Gejala-gejala rempit, Rogol, Buli, Lepak, Pergaulan bebas, Dadah, Vandalisma, minum arak, serta berbagai-bagai lagi gejala, adalah diantara yang sentiasa mendepani dan menjuarai statistik gejala sosial diperingkat kebangsaan. Kita tidak rela dan mesti berasa malu dengan fenomena yang berlaku. Jika dibiarkan, semua ini akan meruntuhkan pembangunan melalui Karajan yang kita dokong. Lebih parah lagi ia akan menurunkan murka Allah SWT.

“Tidakkah engkau (wahai Muhammad) perhatikan, bagaimana Tuhanmu melakukan terhadap Kaum ‘Add (yang kufur). Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan yang tinggi tiangnya. Yang belum pernah dibina sepertinya (besar dan kukuh) di mana-mana negeri (pada zamannya). Dan (terhadap) Kaum Tsamud yang memahat batu-batu besar di lembah. Dan(terhadap) Firaun yang menguasai bangunan- bangunan yang kukuh. (Semua itu adalah) orang-orang yang bermahajaralela di negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri itu. Dengan demikian, Allah mencurahkan ke atas mereka pelbagai paluan azab”. (Surah Al-Fajr: 6-13 )

Pemuda mesti bertindak. Pemuda mesti berada disegala ruang dan peluang, yang diberi atau yang dicari, bagi memastikan penyertaan yang bersungguh-sungguh untuk memerangi gejala-gejala tersebut. Penyertaan, penglibatan dan hubungan dalam semua agensi dan jabatan adalah amat dituntut. Bermula dengan humbugging dan penglibatan di pejabat SUK, Polis, Agensi Pemadam, PBT, Universiti, Hospital, PIBG, Lembaga Dadah Kebangsaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, JAIS, Agensi anti Dadah Kebangsaan, Badan-badan cegah Jenayah, rumah-rumah pemulihan akhlak dan pemulihan akidah dan lain-lain badan lagi. Program yang menjurus kepada pembentukan akhlak perlu dilakukan. Program belia masjid mestilah diaktifkan dan disuburkan dengan program-program yang berobjektif, inovasi dan kreatif.

Menuju Pilihanraya ke 13
Sidang Muktamirin.

Persiapan menghadapi pilihan raya mesti bertolak daripada kebergantungan kepada Allah, kemudian disusuli oleh pengemasan organisasi Pemuda di peringkat Cawangan, Majlis Tindakan DUN, Kawasan, Negeri dan Pusat bagi menjamin usaha-usaha penyusunan strategi, aplikasi media, kerja sama politik dan gerak kerja rutin pilihan raya berjalan lancar. Kita penuh percaya bahawa selagi mana PAS bekerja dengan ikhlas hati demi menegakkan agama Allah dan bekerja dengan cekap dan berkesan, maka tidak ada sebab mengapa Allah tidak boleh menolong untuk memberikan kemenangan kepada PAS.


“Allah sesungguhnya pasti akan menolong sesiapa yang menolong (agamaNya). Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Surah al-Hajj:40)

Kenyataan pengerusi SPR bahawa lebih 2 juta pengundi yang sudah layak mengundi tapi belum mendaftar sebagai pengundi mestilah menjadi fokus kerja pemuda. Penyertaan pemuda bersama dengan badan-badan dan NGO’s penggerak demokrasi, perjuangan bahasa dan pembelaan mangsa kezaliman mestilah menjadi agenda yang utama. Program Semarak hijau yang sudah menjadi trade Mark program pemuda mestilah diteruskan dengan melakukan beberapa pembaharuan. Keseluruhan program perlulah menjurus kepada memenangi hati pengundi muda.

Pengalaman kita menghadapi pilihanraya di Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan terakhir di Bukit gantang dan Bukit selambau serta beberapa siri pilihanraya kecil yang akan datang perlulah diambil kesempatan untuk kita melatih jentera pilihanraya pemuda membentuk kemahiran serta melahirkan tenaga pakar. Kebangkitan pengundi muda adalah diantara faktor besar yang menyumbang untuk kemenangan dalam pilihanraya-pilihanraya tersebut.


Urustadbir Kerajaan negeri.

Sidang muktamirin

Sejak lima desawarsa yang lalu, politik melayu yang menunjangi kerajaan negeri Selangor telah gagal membangunkan melayu dan Islam di bumi ini. Amanah dikhianati, khazanah negeri dipunggah menjadi milik aparat-aparat tertinggi, kebenaran dan keadilan disanggah. Tugas itu hari ini terpikul dipundak kita. Ingatlah akan kata-kata Ibnu Khaldun seorang tokoh pemikir Islam, pengasas ilmu sosiologi dalam karya agungnya Al Muqadimah menyatakan ”kesilapan yang dilakukan oleh pemerintah kesannya akan dideritai oleh rakyat paling singkat setengah abad”.

Pengorbanan rakyat yang telah sanggup menukar kerajaan secara berani mestilah dibalas dengan mengemukakan sebuah kerajaan yang diurus tadbir dengan telus dan baik serta berintegriti. Rakyat menuntut kita melakukakn perubahan. Rakyat mahu kita mencabut dan membersihkan pengaruh dan amalan korup UMNO-BN daripada pentadbiran kerajaan sehingga ke akar-akarnya. Pembersihan kerajaan daripada anasir BN mesti dilaksanakan tanpa bertangguh. Pemimpin kita yang kita angkat menduduki kerusi empuk dengan layanan kelas pertama di SUK sampailah kepada JKKK janganlah terpukau dan terpedaya dengan pemimpin dan ahli BN yang bertukar kulit hanya semata-mata untuk terus membolot peluang, tanpa menghayati dasar dan falsafah perjuangan kita, tanpa menunjukkan komitmen untuk menghayati prinsip-prinsip perjuangan yang kita dokong. Ingatlah ungkapan kata Pak Natsir ulamak tersohor Nusantara pernah menyebut tentang kelahiran pemimpin dan dokongan rakyat. Beliau menyatakan “pemimpin tidak hanya lahir dari bilik berhawa dingin dan hamparan permaidani merah. Pemimpin lahir dari benak rakyat, denyutan nadi dan hati rakyat, diangkat dan dimartabatkan oleh rakyat maka jadilah ia sebagai pemimpin rakyat”.

Dewan Pemuda PAS Negeri sehinggalah anggota-anggota pemuda di peringkat cawangan malah keseluruhan pemuda PR, mestilah diberikan peluang yang adil dan tidak diketepikan untuk turut serta memacu urus tadbir dan pembangunan kerajaan negeri. Kita menuntut kerajaan negeri membuat keputusan secara objektif.Kita juga menuntut agar kepimpinan kerajaan negeri melakukan perubahan besar. Setahun pengalaman mengurus tadbir kerajaan sudah cukup menjadi modal untuk menempatkan sumber tenaga manusia dari kalangan PR bagi menggantikan BN yang penuh dengan skandal dan penyelewengan. Jika perubahan yang sebegini penting takut untuk dilakukan maka perubahan kepimpinan peringkat dalaman perlu dilakukan.

Pembangunan belia adalah instrumen penting dan platform yang paling strategik bagi memastikan keberlangsungan kekuatan dan sokongan anak muda kepada kerajaan yang baharu ini. Namun, saya mendapati program belia kurang digerakkan. Kita masih terkial-kial mencari payung untuk belia-belia kita berteduh. Sehubungan itu, kita ingin menyarakan agar program belia perlulah diletakkan di bawah seorang exco yang khusus menjaga belia dan lebih bersifat ‘mesra belia’.

Penutup

Sedarilah bahawa sebenarnya kita punya kekuatan yang banyak. Kita mempunyai ulama yang ikhlas dalam perjuangan, yang terus berkorban bagi memastikan ahli-ahli sentiasa berada pada dasar dan prinsip perjuangan parti. Kita mempunyai golongan professional yang sanggup mengorbankan masa dan pemikiran agar PAS sentiasa relevan serta mampu mendepani segala cabaran. Kita mempunyai tenaga pemuda yang ramai disegala peringkat untuk digerakkan. Kita mempunya Exco, ADUN dan Ahli Parlimen yang rajin untuk menyingsing lengan menyelami keperitan rakyat. Muslimat yang sanggup digerakkan pada waktu yang diperlukan bukan sedikit jumlahnya. Unit Amal serta Amal Nisa’ sentiasa bersedia bertugas pada bila-bila masa. PASTI negeri Selangor, hampir tiap-tiap tahun kita memenangi anugerah Pengurusan terbaik dan InsyaAllah tahun ini ditambah lagi dengan memenangi anugerah jumlah Pelajar dan Guru yang teramai. Premis-premis Kerajaan Negeri yang dihalang dari dimanfaatkan sejak lima puluh tahun lalu telah ada ditangan kita. Kelab penyokong PAS yang kita tubuhkan akan mampu menjadi nadi penggerak kepada hubungan antara kaum yang lebih erat serta pemangkin Perpaduan Nasional. Pendeknya, kita punya banyak kekuatan. Kekuatan-kekuatan ini jika kita satukan, akan menggerunkan musuh-musuh kita. Waktu yang sama akan memantapkan kekuatan dan kedudukan kita dalam Pakatan Rakyat.

Namun, bagaimana mungkin kita akan satukan kekuatan jika kita tidak mampu untuk satukan fikrah dan tindakan kita. Justru, marilah kita satukan fikrah kita. Marilah kita satukan segala tindakan kita, strategi kita bermula dengan satu niat, bergerak dengan satu tujuan dan berakhir dengan satu Kahayan. Niatnya adalah untuk kekuatan Islam, Tujuannya adalah untuk kekuatan Islam dan Kejayaannya adalah untuk Islam. Marilah kita SATUKAN KEKUATAN.

"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu kamu menggentarkan musuh ALlah, musuhmu dan orang-orang yang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang ALlah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan ALlah nescaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya." Al-Anfal : 60

Akhirnya saya mohon berbanyak kemaafan diatas segala kelemahan, kekurangan dan kecacatan disepanjang tempoh saya menerajui kepimpinan Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor ini. Saya telah banyak belajar dari tuan-tuan arti perjuangan. Saya bangga dan seronok dan saya amat bersyukur dapat bersama dengan Pemuda Negeri Selangor. Teruskan perjuangan hingga menang, hingga titisan darah terakhir selagi nyawa dan kudrat masih dirasa. Sekian

Masa Depan Umat Islam di Palestine di mata Rasulullah SAW.
5:36 AM | Author: ustaz sallehen mukhyi
Sabda Nabi SAW “ Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah Orang-orang Islam akan dapat mengalahkan Yahudi. Pada hari tersebut orang-orang yahudi akan berlindung dibelakang Batu dan Pokok namun batu dan pokok akan berkata wahai Muslim, di belakang aku ada orang Yahudi, kau bunuhlah mereka. Kecuali yang tidak berkata ialah pohon Gharqad, kerana ia pohon Yahudi”.

Jelas, melalui janji nabi bahawa Umat Islam pasti akan menang. Yang penting bersatulah atas kecintaan kepada Allah dan Rasul bagi memerangi musuh-musuh Islam. Tingkatkanlah pengorbanan.

Menyampaikan Sumbangan dari Dewan Pemuda PAS Selangor
Kepada Dr Musa Abu Marzuk, Timbalan Presiden HAMAS.

Kenyataan Ustaz Nik Abduh : Satu Respon
5:06 AM | Author: ustaz sallehen mukhyi
Saya telah meneliti tulisan yang telah dibuat oleh Us. Nik Abduh dalam blognya. Bagi saya soal syor kerajaan Perpaduan yang telah dikemukakan oleh Dato Seri Tuan Guru hj. Abd. Hadi Awang adalah sekadar pandangan sebagai seorang Presiden. Sebagai ahli kita ada hak untuk menuntut penjelasan dan kefahaman terhadap maksud sebenar kerajaan Perpaduan. Namun, sekiranya sebagai ahli kita sukar menerima maklumat yang tepat atau memahami maklumat maka kita tidak perlu gusar sebab kita ada Majlis Syura Ulama’ yang berperanan untuk mengawal dan memastikan dasar dan Perjalanan parti sentiasa berada di track yang diredhai oleh Allah. Bersangka baiklah pada semua kepimpinan ulama’ kita.

Adapun soal DS Tn. Guru Hj. Abd. Hadi menarik balik pandangannya, itu juga adalah hal yang biasa dan tidak akan mencacatkan kredibiliti sebagai Presiden. Nabi Muhammad juga pernah menarik balik pandangannya dalam beberapa perkara. Semasa perang Badar, nabi menarik balik pandangannya untuk berperang ditempat sebelum perigi Badar. Baginda juga pernah menarik balik pandangannya untuk berperang uhud dalam kota Madinah. Yang pasti, Kerajaan Perpaduan memerlukan forum dan analisa yang panjang dan perlu dihadham kefahamannya oleh ahli.

Namun yang lebih penting untuk diberi perhatian yang serius adalah pendedahan Us. Nik Abduh tentang adanya elemen “Melagakan” antara dua kepimpinan tertinggi parti. Bagi saya ini bukan suatu hal yang mudah dan ringan tetapi perlu dipandang serius oleh kepimpinan tertinggi. Sama ada benar atau tidak, pertemuan meja bulat perlu diadakan oleh semua yang terlibat. Penjernihan semula perlu dilakukan semua pihak kembali kepada asas perjuangan yang kita garap dan bina selama ini.
>> Memahami Tarbiyyah
11:19 PM | Author: ustaz sallehen mukhyi
MEMAHAMI TARBIYYAH

Tarbiyah berasal daripada perkataan Arab yang membawa erti penjagaan, pengasuhan dan pendidikan. Tarbiyah Islamiyah pula ialah penjagaan, pengasuhan dan pendidikan berasaskan sumber al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW. Sumber-sumber ini adalah sumber-sumber rabbani.

Dengan sumber inilah generasi sahabat dididik oleh Rasulullah SAW sehingga berjaya melahirkan generasi rabbani yang mendapat jolokan dan pujian daripada Allah seperti yang disebutkan di dalam al-Quran al-Karim :

“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh berbuat kebaikan, melarang berbuat kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.”
(Ali ‘Imran: 110)

Peranan Tarbiyah Islamiyah.

Tarbiyah memainkan peranan penting dan berkesan dalam kebangkitan, pembangunan dan kemajuan sesuatu masyarakat. Maju atau mundur sesuatu masyarakat bergantung kepada maju atau mundur tarbiyah masyarakat tersebut. Oleh itu tarbiyah perlu diberi keutamaan dalam perancangan pembangunan sesuatu masyarakat.

Sejarah Rasulullah SAW sendiri menjelaskan bahawa tarbiyah menjadi faktor utama untuk membangunkan manusia yang mampu menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

Titik Tolak Tarbiyah Islamiyah.

Di dalam ‘Tarbiyah ar-Ruhiyah’, Said Hawa menjelaskan bahawa asas dan titik tolak didikan Islam adalah iman.

Dr Abdul Karim Zaidan pula di dalam ‘Usul ad-Dakwah’ menghuraikan dengan panjang lebar mengenai peraturan asas pembentukan masyarakat Islam. Katanya, asas pembentukan masyarakat dalam Islam ialah aqidah Islam yakni tauhid Rububiyatillah dan tauhid Uluhiyatillah.

"Setiap manusia dituntut meyakini aqidah ini supaya ia mengetahui hakikat diri dan letak duduknya manusia itu dalam hidup supaya faham mengapa manusia itu dijadikan, memahami hubungan dan pimpinan akal fikiran manusia, tindak lakunya dan segala aktivitinya dihubungkan dengan Allah swt,” tulis beliau.

Sehubungan itu, Muhammad Shadid dalam ‘Manhaj al-Quran fi-tarbiyah’ telah menyingkap kembali sejarah dengan menjelaskan bahawa Rasulullah SAW adalah utusan Allah SWT. Baginda adalah contoh utama dan qudwah hasanah serta pelaksana manhaj al-Quran.

Baginda adalah pendakwah yang amat faham tentang dakwahnya dan murabbi (pendidik) yang dianugerahkan segala sifat sebagai murabbi. Baginda mengajak sahabatnya dan orang ramai beriman kepada Allah, menghubungkan mereka dengan al-Quran dan memberi kefahaman bahawa al-Quran adalah arahan daripada Allah SWT untuk dilaksanakan. Arahan itu hanya akan diterima oleh hati yang beriman.

Oleh itu, menurut Said Hawa, pemusatan perlu diberi kepada proses pendidikan untuk memastikan lahir titik tolak yang betul.


Tarbiyah Imaniyah Dalam Semua Aspek.

Iman tidak boleh dipisahkan daripada sebarang kegiatan hidup manusia. Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibina dan didorong oleh iman kepada Allah SWT. Dengan itu, barulah pekerjaan itu dikira sebagai ‘ubudiyah (ibadah) kepada Allah SWT.

Menurut Mustafa Masyhur, ibadah yang sahih (betul) lahir daripada aqidah yang baik. Perkataan ibadah itu mempunyai sifat kesyumulannya dan merangkumi segala urusan hidup, tidak terbatas kepada sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja kerana risalah dan tugas manusia dalam hidup ini ialah beribadah kepada Allah. Hidup seluruhnya ialah ibadah kepada Allah.

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Aku.”
(Al-Zariyat: 56)

Oleh itu setiap muslim mestilah bersungguh-sungguh merealisasikan pengertian ini dengan niat yang betul dalam setiap pekerjaan mereka. Dengan itu, barulah makan minum, ilmu dan amalan, riadah dan perkahwinan menjadi wasilah (jalan) mentaati Allah. Rumah menjadi mihrab (tempat beribadah kepada Allah).

Begitu juga sekolah, kolej, kilang, tempat perniagaan, kebun, ladang, sawah, padang permainan, malah dunia seluruhnya menjadi tempat beribadah kepada Allah SWT. Dengan perkataan lain, segala usaha dan perkataan yang terbit daripada seorang muslim merupakan ibadah kepada Allah.

Dengan itu hubungan sentiasa wujud antara hamba dengan Penciptanya dalam semua
aspek kehidupan. Semua urusan dirujuk kepada syariat Allah SWT. Hubungan hati manusia dengan Allah pada setiap masa adalah asas utama bagi melaksanakan tarbiyah Islamiyah dengan berkesan.

Aspek rabbani dalam tarbiyah Islamiyah adalah aspek yang paling penting kerana matlamat pendidikan Islam ialah melahirkan insan mukmin dalam pengertian sebenar iaitu insan yang memiliki iman yang menguasai hati dan fikiran, lahir dalam bentuk amalan dan tindakan, seperti yang disebutkan dalam al-athar:

“...Ia sebati dalam jiwa dan dibenarkan dalam bentuk amalan.”

Allah berfirman :

“Sesungguhnya orang yang beriman ialah orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu, mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka di jalan Allah.” (Al-Hujurat: 15)

Tunggak tarbiyah rabbaniyah ialah hati yang subur, sentiasa berhubung dengan Allah SWT, yakin akan menemui-Nya, mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya. Jiwa yang hidup inilah yang menjadi tumpuan Allah swt untuk dicampakkan nur kepadanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa bentuk kamu tetapi Dia melihat kepada hati dan amalanmu.”

“Pada hari di mana tidak berguna harta dan anak pinak kecuali mereka yang balik kepada Allah dengan hati yang (sejahtera).”

Tarbiyah Islamiyah berusaha menghidupkan jiwa supaya tidak mati, memakmurkannya supaya tidak binasa dan melembutkannya supaya tidak keras kerana hati yang keras dan akal yang beku merupakan satu kemungkaran yang perlu diminta perlindungan Allah SWT daripadanya.

“Adapun Nabi SAW meminta perlindungan daripada Allah SWT daripada ilmu yang
tidak bermanfaat dan daripada hati yang tidak khusyu’.”

Hati Yang Soleh.

Baik buruk seseorang itu berpunca daripada hatinya. Tepat seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya yang bermaksud:

“Ketahuilah di dalam jasad manusia terdapat seketul daging, jika baik ketulan itu maka baiklah seluruh jasadnya, tetapi jika rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah ia adalah hati.”

Oleh itu membaiki dan merawat hati daripada sebarang penyakit perlu diberi keutamaan. Jiwa perlu dibersihkan daripada sebarang syirik dan sifat yang tercela seperti hasad, ‘ujub, takkabur, bakhil, cintakan dunia, menurut hawa nafsu dan sebagainya.

Menurut Ibn Qaiyyim al-Jauzi, hati itu menjadi baik apabila ia mengenali Allah yang menciptanya, nama-Nya, sifat-Nya, perbuatan-Nya dan peraturan-Nya. Hati yang sihat akan mengutamakan keredaan Allah dan mencintai apa yang disukai Allah serta menjauhi segala tegahan dan perkara yang dimurkai-Nya.

Realiti Masyarakat Islam Kini.

Adalah satu hakikat yang mudah difahami iaitu manusia hendaklah menjadi muslim dan dididik dengan didikan Islam. Bagaimanapun perkara semudah ini tidak difahami oleh umat Islam hari ini atau kabur bagi mereka.

Umat Islam hari ini rata-rata kehilangan sahsiah atau identiti sebagai umat pilihan, hilang kekuatan dan terumbang-ambing menjadi buih, tidak digeruni atau disegani lagi seperti yang disebutkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Hampir seluruh umat manusia bersatu menghancurkan kamu seperti orang yang sedang lapar menghadapi hidangan makanan. Mereka bertanya: ‘Apakah kita sedikit pada masa itu, wahai Rasulullah?’ Jawab baginda: ‘Malah kamu banyak, tapi kamu laksana buih air bah.”

Dasar Penyelesaian Islam.

Masalah manusia hari ini tidak akan dapat dirungkaikan kecuali kembali kepada Islam. Islam pula tidak dapat memainkan fungsinya melainkan wujud para pendokong (‘amilinnya).

Meneliti sejarah Rasulullah SAW, para pendokong dibentuk dan diproses melalui Tarbiyah Islamiyah yang mengikrarkan ‘ubudiyah hanya kepada Allah; ‘ubudiyah yang merangkumi i'tiqad, ibadah dan peraturan yang benar-benar berjalan dalam amalan hidup mereka.

Proses ‘ubudiyah seperti ini akan membersihkan jiwa mereka daripada beriman kepada yang lain dan mengawasi amalan mereka daripada bermatlamatkan yang lain daripada Allah semata-mata.

Melalui proses ini sahajalah ummah Islamiyah dapat dibentuk. Ummah ini akan menjadi dasar penyelesaian Islam. Ummah yang dianggotai oleh mereka yang melalui proses pembentukan yang bertolak daripada kalimah tauhid yang diikrarkan oleh setiap anggotanya iaitu ‘La ilaha illallah, Muhammadur Rasulullah’.

Selagi ikrar ini tidak lahir dalam bentuk amalan individu mahupun masyarakat sebagai natijah proses pembentukan itu, mereka belum layak untuk menganggotai ummah muslimah dalam pengertian sebenar.

Konsep yang tegas dan jelas ini perlu difahami oleh setiap muslim yang telah bertekad untuk memutuskan hubungannya dengan jahiliah dan mengikrarkan ‘ubudiyahnya hanya bagi Allah SWT.

Kefahaman yang jelas ini penting supaya amalan hidup setiap muslim adalah benar-benar merupakan ibadah yang diredhai Allah SWT. Dengan perkataan lain ikrar itu menjadi kaedah atau asas bagi suatu sistem yang lengkap dan praktik. Dengan itu, kehidupan ummah Islamiah benar-benar diasas dan dikawal oleh kaedah ini, bukan kaedah lain atau bersama kaedah lain.

Allah berfiman dalam Surah Yusuf, ayat 40 :

“Keputusan hukum itu kepunyaan Allah. Dia memerintahkan supaya jangan tunduk memperhambakan diri melainkan kepada-Nya. Itulah din (agama) yang benar.”

Dalam Surah An-Nisa’, ayat 80 pula Allah berfirman :

“Siapa yang mematuhi Rasul maka sesungguhnya ia mematuhi Allah.”

Berdasarkan kepada proses pembentukan dan pembangunan itu, maka langkah pertama ialah membersihkan jiwa anggota daripada ‘ubudiyah kepada yang lain daripada Allah swt sama ada dalam bentuk i’tiqad, ibadah dan syariat. Ummah yang dianggotai mereka yang sudah bersih hati dan jiwa sahaja yang dapat membangunkan masyarakat Islam.

Ummah yang dibangunkan di atas dasar tauhid tidak dapat diwujudkan kecuali setelah tencapai suatu tingkat kekuatan yang mampu menghadapi cabaran dan tekanan masyarakat jahiliyah.

Kekuatan yang dimaksudkan ialah kekuatan aqidah, kekuatan syariah, kekuatan ahklak, kekuatan organisasi, kekuatan ilmu dan pelbagai jenis kekuatan yang diperlukan bagi menentang sistem jahiliyah atau sekurang-kurangnya mampu mempertahankan diri daripada dikuasai jahiliyah.

Wallahu subhanahu wa taala a'lam...
>> Fotografi Kenangan Lalu
1:30 AM | Author: ustaz sallehen mukhyi
Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.. di bawah merupakan sebahagian daripada gambar yang sempat ana tunjukkan kepada para pengunjung blog ana. Ini adalah sebahagian kecil dan tidak lama lagi ana akan masukkan di dalam pautan luar Fotopages.Com, tetapi buat masa ini, ini sahaja dahulu buat tatapan semua. Terima kasih.

Sewaktu demonstrasi BERSIH menjelang PRU-12

Delegasi ilmu ke Eropah bersama pimpinan PAS Pusat

Gambar kenang-kenangan di Jambatan Victoria, Kota London
>> siaran akhbar 2 (Sinar Harian, 24 April 2009)
6:41 AM | Author: ustaz sallehen mukhyi
Siaran akhbar menerusi Sinar Harian, Jumaat 24 April 2009, Ruangan Sabak Bernam S20.

PR KONSISTEN JAGA KEBAJIKAN RAKYAT

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor (PR) sentiasa menitik beratkan soal kebajikan rakyat dan konsisten di dalam melaksanakan segala program yang telah dipersetujui bersama menerusi Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). “Tanpa mengira kaum, bangsa, dan dukungan politik, kerajaan negeri Selangor serius menjaga keperluan rakyat biarpun tohmahan sering dilemparkan oleh pihak yang tidak senang dengan apa yang telah lakukan selepas setahun kita memerintah ini.

Demikian ulasan Yang Berbahagia, Ustaz Sallehen Mukhyi, Penyelaras DUN, Pusat Khidmat Masyarakat N.02 DUN Sabak, juga selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor. Beliau yang melapangkan masa biarpun pada lewat malam menziarahi keluarga mendiang Ong Ah Bah di Sungai Lias, Sungai Besar untuk menyampaikan bayaran pertama Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kerajaan negeri Selangor. Tambah beliau, pemimpin masyarakat yang dihormati tidak diangkat kerana kekayaannya, tetapi pemimpin itu disanjung kerana ketinggian budinya, dan dapat berkongsi rasa dengan masyarakat, biarpun mereka bukanlah dari darah daging sendiri.

Menjadi keutamaan Pakatan Rakyat untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara. Maka, DUN Sabak sentiasa memastikan setiap ahli SMUE yang meninggal dunia menerima manfaat tersebut dalam tempoh kurang daripada 48 jam dan itulah yang menjadi pegangan PKM DUN Sabak ini. Kunjungan ziarah untuk penyampaian Skim MUE pada kali ini juga turut diikuti oleh pemimpin-pemimpin kanan DAP Bahagian Sabak Bernam sebagai tanda sokongan kepada agenda kerajaan negeri.

Beliau pada malam tersebut juga menyampai Skim MUE ini kepada sebuah lagi keluarga di Kampung Batu 38, Sabak Bernam. Ujar Ustaz Sallehen, Pakatan Rakyat bukanlah satu pakatan yang bertugas pada waktu pejabat sahaja, tetapi sepanjang masa, dan itulah nilai yang menjadikan Pakatan Rakyat semakin akrab di Selangor ini.

Pada akhir sesi ziarah dan penyampaian tersebut, Ustaz Sallehen mengucapkan terima kasih di atas sokongan masyarakat dan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat Selangor dan sentiasa bersama-sama memberikan kerjasama dan mencurahkan idea agar dinikmati oleh semua pihak.

>> siaran akhbar (Sinar Harian, 24 April 2009)
4:25 AM | Author: ustaz sallehen mukhyi
Siaran akhbar menerusi Sinar Harian, Jumaat 24 April 2009, Ruangan Nasional N8.

PEMUDA PAS SELANGOR TOLAK PEMIMPIN KEJAR JAWATAN.

SHAH ALAM - Dewan Pemuda PAS Selangor memberi amaran akan menolak mana-mana pemimpin yang berhasrat untuk bertanding pada Muktamar parti Jun depan dengan tujuan meraih populariti dan jawatan.

Ketuanya, Sallehen Mukhyi berkata, pendirian mereka adalah jelas demi menjaga kualiti kepimpinan yang bergerak selari dengan asas perjuangan untuk parti dan rakyat.

"Saya ingin mengingatkan kepada semua anggota yang ingin menawarkan diri sebagai calon, perlu berlandaskan perjuangan parti dan bukan untuk populariti atau memegang jawatan tinggi semata-mata".

"Pertandingan yang bakal berlaku nanti perlu dilihat sebagai angin perubahan dalam proses memantapka parti dan anggotaya". katanya semalam.

Sallehen berkata, parti itu positif terhadap penampilan muka-muka baru dalam barisan kepimpinan selagi ianya bertujuan memantap dan mengukuhkan parti.

"Pertandingan dilihat sebagai satu angin perubahan malah perubahan ini tidak terkeluar daripada amalan yang berlaku di dalam PAS. Namun, sukar bagi saya untuk mengatakan ada atau tidak perubahan tersebut dalam Muktamar kali ini".

"Beliau berkata, calon yang menawarkan diri juga perlu bersedia memikul tanggungjawab dan kecemerlangan pemimpin sedia ada yang berjaya mengukuhkan pengaruh parti di kalagan rakyat termasuk dalam kalangan bukan Islam."

"Saya secara peribadi beranggapan kepimpinan yang sudah ada telah berjaya memimpin parti tetapi ia tidak mampu mengekang perubahan yang diingini ahli termasuk mahukan sentuhan baru dan juga penambahbaikan."katanya.

Mengenai ramalan penganalisis politik, Mohd Sayuti Omar yang menggambarkan akan berlaku 'tsunami kecil' melibatkan tiga jawatan tertinggi parti, Sallehen berkata:

"Kalau ini berlaku Jun nanti, ia merupakan satu proses transformasi secara menyeluruh untuk meletakkan PAS sebagai satu parti Melayu yang berjaya mengatasi UMNO yang sudah semakin hilang pengaruhnya."

Sekian.
>> sallehenmukhyi.blogspot.com dalam pembinaan
9:20 PM | Author: ustaz sallehen mukhyi
Assalamualaikum, ana mohon maaf oleh kerana kesibukan masa memenuhi jemputan untuk pengajian di merata tempat, maka, ada sebahagian kandungan blog ana ada yang kurang lengkap.

Ana akan cuba selesaikannya menjelang akhir bulan ini sebelum posting sebenar akan ana muatkan.

ikhlas
Ustaz Sallehen Mukhyi
>> assalamualaikum...
1:19 AM | Author: ustaz sallehen mukhyi
apa khabar anda semua, selamat datang ke laman blog rasmi ana, di permulaan ini ana ucapkan jutaan terima kasih di atas sokongan dan kesudian melawat laman blog ini.

apa yang ana akan muatkan di dalam blog ini akan berkisar tentang perjuangan sebagai hamba Allah di muka bumi,

saya sekali lagi ucapkan terima kasih dan semoga anda mendapat manfaat daripada blog ana ini
sekian,

Haji Sallehen bin Mukhyi
Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor